PENGERTIAN HADATH
- Hadath dari segi bahasa bererti sesuatu yang datang atau berlaku.
- Hadath dari segi syara‘ bermaksud sesuatu yang berlaku pada tubuh badan yang menyebabkan tidak sah sesuatu ibadah.
- Ia terbahagi kepada hadath kecil dan hadath besar.
1. Hadath kecil ialah sesuatu perkara yang membatalkan wudhu’.
2. Hadath besar ialah sesuatu perkara yang mewajibkan mandi.
SEBAB HADATH DAN KESANNYA
- Sebab hadath kecil adalah sebab yang membatalkan wudhu’. Maka kesan daripada berhadath kecil adalah terbatalnya wudhu’ dan diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:
1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
- Sebab hadath besar pula adalah berjunub, keluar haidh atau nifas dan melahirkan anak.
- Apabila seseorang berhadath besar kerana berjunub, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:
1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
2. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
3. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
4. Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.
5. Beri‘tikaf di dalam masjid.
- Apabila seseorang berhadath besar kerana keluar haidh dan nifas, maka dia diharamkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:
1. Menunaikan sembahyang sama ada fardhu atau sunat dan amalan lain yang seumpamanya seperti sujud tilawah, sujud syukur, khutbah Jumaat dan solat jenazah.
2. Berpuasa.
3. Tawaf Ka‘bah, sama ada fardhu ataupun sunat kerana dihukum sebagai sembahyang.
4. Memegang dan menyentuh kesemua bahagian Al-Qur’an atau sebahagiannya sahaja walaupun sepotong ayat.
5. Membaca Al-Qur’an dengan niat membacanya kecuali dengan niat zikir, berdoa, memuji Allah dan memulakan sesuatu ataupun dengan tujuan mengajar.
6. Masuk, duduk dan beri‘tikaf di dalam masjid walaupun dengan wudhu’.
7. Bersetubuh.
8. Talaq.
CARA MENGHILANGKAN HADATH
- Untuk menghilangkan hadath kecil ialah dengan berwudhu’ atau tayammum apabila tidak dapat melakukan wudhu’.
- Untuk menghilangkan hadath besar ialah dengan mandi atau bertayammum sebagai ganti daripada mandi
8 : Haid, Nifas dan Hamil/Wiladah
HAID
Iaitu darah yang keluar dari kemaluan perempuan pada masa sedang sihat a’fiat ialah kerana menurut tabiat perempuan. Sekurang-kurangnya umur bagi perempuan yang boleh keluar darah haid itu dari sembilan tahun ke atas. Warna darah haid itu merah tua, rasanya hangat apabila ia keluar.
Tempohnya
Lama masa keluar darah haid itu sekurang-kurangnya sehari semalam dan selanjut-lanjut masanya selama lima belas hari siang dan malam, kebanyakannya iaitu masa yang biasa keluar selama enam atau tujuh hari.
Suci diantaranya
Sekurang-kurangnya suci diantara satu haid ke satu haid itu lima belas hari, biasanya dua puluh empat hari. Ada juga perempuan tiada keluar haid dari kecil hingga besar atau haid telah putus daripadanya maka masa suci baginya itu tidak terhingga.
NIFAS
Iaitu darah perempuan yang keluar pada masa melahirkan anak atau darah yang keluar setelah lahir anak itu.
Tempohnya
sekurang-kurang masa keluar darah nifas itu sekelip mata iaitu sedikit sangat dan biasanya empat puluh hari dan selanjut-lanjut masanya enam puluh hari.
ISTIHADHAH
Iaitu darah perempuan yang keluar bukan masa haid dan nifas. Seperti darah haid yang keluar lebih daripada lima belas hari lima belas malam atau darah yang keluar dahulu dari melahirkan anak dan yang keluar di atas enam puluh hari dan ini harus di namakan darah penyakit.
HAMIL/WILADAH
Sekurang-kurangnya masa mengandung itu enam bulan dan biasanya sembilan bulan ada juga lebih lama dari masa ini sehingga tiga tahun. Apabila habis darah haid atau nifas wajiblah di atas perempuan itu bersuci iaitu mandi melainkan istihadhah, tiada wajib mandi hanya memadai ia berbasuh.
9: Istinja'
PENGERTIAN ISTINJA’
- Istinja’ bererti menghilangkan najis yang keluar dari qubul atau dubur dengan air atau batu atau benda keras yang seumpama batu serta suci, dapat menghilangkan najis dan tidak haram menggunakannya.
HUKUM ISTINJA’
- Hukum istinja’ untuk menghilangkan najis adalah wajib.
- Sunat beristinja’ dengan batu kemudian dibasuh dengan air.
- Harus memilih untuk beristinja’ dengan hanya menggunakan air sahaja atau menggunakan sekurang-kurangnya tiga biji batu jika dapat menghilangkan najis. Walaubagaimanapun, lebih afdhal menggunakan air kerana air lebih berupaya dan berkesan untuk menghilangkan najis.
- Jika menggunakan batu, diwajibkan menyapu dengan sekurang-kurangnya tiga biji batu atau tiga penjuru dari sebiji batu dengan syarat:
1. Najis yang hendak dibersihkan itu tidak kering.
2. Tidak merebak ke bahagian lain.
3. Tidak bercampur dengan najis yang lain.
- Sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat tersebut, maka hendaklah menggunakan air.
ADAB MEMBUANG AIR1. Haram menghadap ke arah qiblat atau membelakanginya apabila membuang air di kawasan lapang. Walaubagaimanapun, disunatkan juga tidak menghadap atau membelakangi qiblat apabila membuang air di dalam bangunan seperti tandas atau apabila ada dinding atau tabir antara orang itu dengan qiblat.
2. Makruh membuang air di dalam air yang tidak mengalir atau di dalam air mengalir yang sedikit, tetapi jika air mengalir itu banyak, maka yang lebih baik dielakkan dari membuang ke dalamnya. Ini berdasarkan hadith riwayat Muslim yang bermaksud:
“Bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam menegah membuang air (kencing) di dalam air yang tidak mengalir.”
3. Makruh membuang air di bawah pokok buah-buahan sama ada ketika berbuah atau tidak.
4. Makruh membuang air di dalam lubang dan di celah rekahan tanah.
5. Makruh membuang air di jalan, di tempat teduh dan di dalam lubang yang bukan digali khas untuk membuang air.
6. Makruh bercakap ketika membuang air kecuali kerana sesuatu keperluan.
7. Makruh menghadap ke arah matahari atau bulan ketika membuang air.
8. Sunat berlindung daripada pandangan manusia.
9. Haram membawa bersama-sama sebarang benda yang ada catatan nama Allah, Al-Qur’an dan seumpamanya ketika membuang air
No comments:
Post a Comment