Tuesday, August 3, 2010

16...SYARAT2 SAH SOLAT....17...RUKUN....18...PERKARA2 SUNAT...

16 : Syarat-syarat Sah Solat

SYARAT-SYARAT SOLAT

  • Syarat dalam sembahyang terbahagi kepada dua iaitu syarat taklif atau dikenali sebagai syarat wajib dan syarat sah atau tunai.

SYARAT WAJIB SOLAT

  • Syarat wajib ialah sesuatu yang bergantung kepadanya ketentuan wajib atau tidaknya sembahyang ke atas seseorang.
  • Syarat-syarat wajib dalam sembahyang adalah seperti berikut:

    1. Beragama Islam.

    2. Baligh.

    3. Berakal.

    4. Suci daripada haidh dan nifas.

    5. Selamat salah satu anggota deria sama ada pendengaran atau penglihatan. Sembahyang tidak wajib ke atas orang yang dilahirkan buta dan pekak.

    6. Sampai seruan agama Islam. Sembahyang tidak wajib kepada mereka yang tinggal terpencil dan tidak pernah berjumpa dengan pendakwah Islam.


SYARAT SAH SOLAT

  • Syarat sah sembahyang adalah syarat yang menentukan kesahihan sesuatu sembahyang atau dengan kata lain kesahihan sesuatu sembahyang bergantung kepadanya.
  • Syarat-syarat sah sebahyang adalah seperti berikut:

    1. Suci daripada hadath kecil dan besar.

    2. Suci tempat, pakaian dan tubuh badan daripada sebarang najis yang tidak dimaafkan.

    3. Mengetahui tentang masuknya waktu sembahyang sama ada dengan yakin atau jangkaan melalui ijtihad atau bertaqlid kepada orang yang tahu mengenainya.

    4. Menutup aurat.

    5. Menghadap ke arah qiblat (Ka‘bah)




    17 : Rukun Solat
    • Sembahyang sama ada fardhu atau sunat mestilah memenuhi tiga belas rukun yang utama seperti berikut:

    1. Berdiri tegak dengan tidak condong atau miring hinggakan sampai ke tahap ruku‘ tanpa keuzuran bagi mereka yang berkuasa berbuat demikian dalam sembahyang fardhu. Dalam sembahyang sunat, berdiri tegak tidak diwajibkan sebaliknya hukumnya hanyalah sunat.

    2. Niat dalam hati ketika melakukan takbiratul ihram dengan memusatkan qasad hendak melakukan sembahyang sambil mengingati jenis dan bentuknya sama ada fardhu atau sunat.

    3. Takbiratul ihram. Cara takbir dilakukan ialah dengan lafaz . Boleh juga dengan lafaz atau . Syarat-syarat takbir ialah :

    • Ucapan takbir dilakukan semasa dalam kedudukan berdiri.
    • Melafazkan takbir dengan keadaan menghadap ke arah qiblat.
    • Takbir diucapkan dalam bahasa Arab kecuali tidak mampu berbuat demikian dan tidak sempat belajar, maka boleh dengan terjemahannya tetapi mesti dipelajari.
    • Semua huruf yang diucapkan itu didengari oleh diri sendiri.
    • Ucapan itu hendaklah terkemudian daripada ucapan imam.
    • Semasa melafazkan takbir hendaklah disertai dengan niat.

    4. Membaca Al-Fatihah. Ia adalah rukun pada setiap raka‘at semasa berdiri atau kedudukan lain sebagai gantiannya dalam semua jenis sembahyang. Syarat-syaratnya adalah:

    • Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
    • Bacaan itu hendaklah dengan susunan yang betul, meneliti tempat keluar (makhraj) huruf yang betul dan dinyatakan dengan segala sabdunya.
    • Janganlah terlampau berlagu hinggakan boleh mengubah maknanya.
    • Bacaan itu hendaklah dalam bahasa Arab.
    • Bacaan itu hendaklah dalam keadaan berdiri.
    • Semua ayat hendaklah dibaca dengan sempurna dalam setiap raka‘at kecuali ma’mum masbuq dan jika imam membaca terlalu cepat.

    5. Ruku‘, iaitu tunduk dengan kadar membolehkan dua tapak tangannya boleh sampai kepada kedua-dua lutut. Ini yang paling kurang dan sebaik-baiknya tunduk hinggakan belakangnya sama dengan tengkuk dan menegakkan dua betis dan memegang lutut dengan tangan sambil jari-jari mencengkamnya. Syarat-syarat ruku‘ ialah tunduk dengan kadar yang dinyatakan iaitu sampai dua tapak tangan ke lutut tanpa diniatkan ruku‘ itu perkara lain selain sembahyang, dan dengan tama’ninah iaitu berterusan ruku‘ dengan keadaan tenang sekadar membaca satu tasbih.

    6. I‘tidal selepas ruku‘. I‘tidal bermaksud bangkit daripada ruku‘ dan kembali kepada keadaan berdiri atau gantiannya beserta dengan tama’ninah. Syarat-syaratnya ialah dilakukan tanpa tujuan lain selain mendirikan sembahyang, dilakukan dengan tama’ninah dengan kadar sekurang-kurangnya bacaan satu tasbih dan tidak terlalu panjang melebihi tempoh bacaan Al-Fatihah kerana ia adalah rukun pendek.

    7. Sujud dua kali dalam setiap raka‘at. Maksud sujud ialah sentuhan dahi orang yang bersembahyang ke tempat sujud. Syarat-syarat sujud ialah:

    • Terbuka dahi tanpa berlapik dan tidak tertutup ketika melakukannya.
    • Sujud hendaklah berlaku di atas tujuh anggota iaitu dahi, kedua-dua tangan (tapaknya), kedua-dua lutut dan hujung jari kedua-dua kaki dengan serentak.
    • Bahagian paling bawah (punggung) hendaklah terangkat melebihi bahagian yang paling atas (kepala) sekadar yang termampu.
    • Sujud tidak dilakukan di atas pakaian yang bersambung dengannya yang bergerak dengan pergerakannya.
    • Tidak diniatkan selain daripada sujud sembahyang.
    • Dahi hendaklah ditekan ke tempat sujud dengan tekanan yang sederhana sekadar memberi kesan pada kain jika terdapat di bawahnya.
    • Tama’ninah ketika sujud dengan kadar mengucap sekali tasbih.


    8. Duduk antara dua sujud. Caranya ialah duduk dengan sama rata beserta tama’ninah pada setiap raka‘at sama ada sembahyang secara berdiri atau tidak. Syarat-syaratnya ialah:

    • Bangkit dari sujud itu kerana melakukan ibadah bukan disebabkan perkara lain.
    • Jangan terlalu lama hingga melebih tempoh bacaan tasyahhud yang paling pendek.
    • Dilakukan dengan tama’ninah iaitu sekurang-kurangnya diam seketika selepas pergerakan anggota dan sebaik-baiknya melebihi batasan itu.

    9. Duduk tahiyyat akhir yang disusuli selepasnya oleh salam. Ia dilakukan pada raka‘at akhir setiap sembahyang dan perlu untuk membaca zikir wajib iaitu tasyahhud. Cara duduk yang sunat ialah secara tawarru‘, iaitu duduk dengan dikeluarkan kaki kiri dari sebelah kanannya dan pangkal peha diletakkan di atas tanah, dan menegakkan kaki kanan serta mengeluarkan kaki kiri dari bawah kaki kanan dan menekan jari kaki kanan ke atas bumi (melipatkannya) supaya hujung jari kaki kanan itu menghala ke qiblat.

    10. Membaca tasyahhud semasa duduk kali terakhir. Lafaz tasyahhud yang sempurna ialah seperti berikut:

    Syarat-syarat tasyahhud adalah seperti berikut:

    • Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
    • Bacaan hendaklah berurutan tanpa diselangi oleh diam yang lama atau zikir lain.
    • Bacaan itu hendaklah dilakukan semasa duduk kecuali jika berlaku keuzuran.
    • Bacaan itu hendaklah dengan bahasa Arab melainkan jika tidak mampu.
    • Semasa membacanya hendaklah menitikberatkan tempat keluar huruf (makhraj) dan segala shaddahnya (baris sabdu).
    • Pembacaannya hendaklah secara tertib dari segi kalimah-kalimahnya.


    11. Salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud (tahiyyat akhir) semasa duduk kali terakhir. Lafaz salawat hendaklah sekurang-kurangnya . Seelok-elok lafaz salawat ialah salawat Al-Ibrahimiyyah. Syarat-syarat bacaan salawat ialah:

    • Bacaan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri.
    • Hendaklah dengan lafaz “Muhammad” . Boleh juga dengan lafaz “Rasulullah” atau “An-Nabiy” .
    • Hendaklah dengan bahasa Arab kecuali tidak mampu.
    • Bacaan itu hendaklah tertib dari segi sighahnya dan dibaca selepas tasyahhud.

    12. Salam yang pertama yang bertujuan untuk keluar daripada sembahyang dan dilakukan semasa duduk kali terakhir. Syarat-syaratnya ialah:

    • Dimulakan kalimah salam dengan alif dan lam iaitu , maka tidak boleh menggantikannya dengan tanwin .
    • Diucapkan dengan “kaf al-khitab” bagi memfokuskan ucapan salam itu kepada pihak kedua.
    • Setiap kalimah hendaklah disambung dengan yang lainnya.
    • Diucapkan dengan dimasukkan “mim al-jama‘” yang menunjukkan pihak yang ditujukan salam itu pihak ramai.
    • Diucapkan salam dengan keadaan tubuh badan menghadap qiblat dengan dadanya.
    • Ucapan itu hendaklah diiringi dengan niat untuk keluar daripada sembahyang, tidak bertujuan untuk pemberitahuan semata-mata.
    • Ucapan itu hendaklah dilakukan semasa berkeadaan duduk.
    • Ucapan dilakukan dalam bahasa Arab kecuali mereka yang tidak sempat belajar.
    • Ucapan itu hendaklah didengari oleh diri sendiri jika tiada sebarang halangan.

    13. Tertib di antara semua rukun sembahyang tanpa mendahulukan rukun yang sepatutnya dikemudiankan.




    18 : Perkara Sunat Dalam Solat

    Sunat ketika melakakukan sembahyang ada dua jenis iaitu sunat ab'adh dan sunat hai'ah. Sunat ab'adh ialah setiap perkara yang sangat dituntut untuk dilaksanakan di mana jika ditinggalkan maka sunat diganti dengan sujud sahwi pada akhir sembahyang (sebelum memberi salam). Manakala sunat hai'ah pula ialah setiap perkara yang jika ditinggalkan tidak dikenakan sudud sahwi.

    • Sunat Ab‘adh

    1. Tasyahhud awal, iaitu tasyahhud yang dibaca semasa duduk selepas melakukan setiap dua raka‘at dalam sembahyang Zuhur, ‘Asar, Maghrib dan ‘Isya’.

    2. Salawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud awal tanpa disambung dengan salawat ke atas ahli keluarga Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.

    3. Salawat kepada ahli keluarga Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam selepas tasyahhud akhir.

    4. Duduk bagi mengerjakan setiap tiga perkara sunat ab‘adh di atas.

    5. Bacaan qunut semasa i‘tidal pada raka‘at sembahyang Subuh, pada raka‘at akhir sembahyang witir ketika separuh kedua bulan Ramadhan iaitu selepas malam kelima belas.

    Sunat Hai’ah

    • Sunat hai’ah sangat banyak semasa melakukan sembahyang. Secara umumnya, sunat hai’ah boleh diringkaskan kepada perkara-perkara berikut:

      1. Mengangkat dua tangan ketika takbiratul ihram, mula hendak ruku‘ dan bangkit daripadanya, dan ketika bangun daripada tasyahhud awal.

    2. Meletakkan tangan kanan ke atas belakang tangan kiri di bawah dada, di atas pusat sambil mengarahkan sedikit ke arah hati.

    3. Melihat ke tempat sujud sambil menundukkan kepala sedikit.

    4. Membaca tawajjuh atau doa iftitah secara senyap.

    5. Membaca al-isti‘azah secara perlahan selepas tawajjuh dan sebelum Al-Fatihah.

    6. Selain daripada itu, ma’mum hendaklah menyaringkan bacaan pada tempat-tempat yang menghendaki sedemikian iaitu semasa sembahyang Subuh, dua raka‘at pertama sembahyang Maghrib dan ‘Isya’, Juma‘at, dua hari raya, gerhana bulan, istisqa’, tarawih, witir ramadhan, dua raka‘at selepas tawaf pada malam hari dan waktu Subuh. Pada selain waktu-waktu tersebut hendaklah memperlahankan suara.

    7. Membaca selepas Al-Fatihah sama ada oleh imam, ma’mum atau bersendirian.

    8. Membaca surah atau paling kurang tiga ayat selepas bacaan Al-Fatihah. Disunatkan kepada imam atau persendirian dan ma’mum yang tidak mendengar bacaan imam kecuali pada raka‘at ketiga dan keempat kepada selain masbuq dengan dua raka‘at pertama.

    9. Bertakbir ketika melakukan perpindahan dari satu rukun ke rukun yang lain.

    10. Membaca semasa mengangkat kepala daripada ruku‘.

    11. Membaca tasbih ketika ruku` dan sujud sebanyak tiga kali.

    12. Meletakkan kedua-dua tangan pada kedua-dua paha ketika duduk tasyahhud.

    13. Duduk secara iftirash dalam semua tempat dikehendaki duduk kepada selain mereka yang masbuq dan yang lupa.

    14. Membaca salawat Ibrahimiyyah selepas tasyahhud akhir.

    15. Berdoa dan ta‘awwuz iaitu meminta perlindungan kepada Allah selepas tasyahhud akhir.

    16. Memberikan salam kedua selepas salam fardhu yang pertama.

    17. Khusyu‘, iaitu menghadirkan hati semasa mengerjakan sembahyang dan memberi perhatian kepada setiap patah perkataan yang diucapkan











No comments:

Post a Comment

Post a Comment