Tuesday, August 3, 2010

10..WUDHU....11...KHUR@MUNZA....12...TAYAMMUM

10 : WUDHU'

PENGERTIAN WUDHU’,

Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu.

Dari segi syara‘, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.


HUKUM WUDHU’

Hukum wudhu’ adalah seperti berikut:

1. Wajib atau fardhu, iaitu ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, ketika hendak melakukan tawaf Ka‘bah sama ada tawaf fardhu atau sunat, ketika hendak menyentuh Al-Qur’an dan sebagainya.

2. Sunat. Banyak perkara yang disunatkan berwudhu’, antaranya ialah untuk membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca atau mendengar bacaan hadith, membawa kitab tafsir, kitab hadith atau kitab fiqh, melakukan azan, duduk di dalam masjid, melakukan tawaf di ‘Arafah, melakukan sa‘i, menziarahi makam Rasulullah, ketika hendak tidur, mengusung jenazah, malah disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ dan memperbaharui wudhu’.

HIKMAH WUDHU’

Hikmah berwudhu’ ialah kerana anggota-anggota tersebut terdedah kepada kekotoran yang zahir seperti habuk, debu dan lain-lain serta banyak terdedah dengan dosa dan maksiat sama ada zahir atau batin.

FARDHU WUDHU’

1. Berniat ketika meratakan air ke seluruh muka. Niat wudu’ adalah seperti berikut:

Maksudnya:
“Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta‘ala”.

atau

Maksudnya:
“Sahaja aku berwudhu’ kerana Allah Ta‘ala”.

2. Membasuh muka. Had atau batasan muka yang wajib dibasuh adalah dari tempat tumbuh rambut di sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya adalah dari anak telinga hingga ke anak telinga.

3. Membasuh dua tangan hingga dua siku. Bagi orang yang tiada siku disunatkan membasuh hujung anggota yang ada.

4. Menyapu sedikit kepala. Boleh disapu di ubun-ubun atau lain-lain bahagian rambut yang ada di dalam had atau kawasan kepala, tetapi yang utamanya adalah menyapu seluruh kepala.

5. Membasuh dua kaki hingga dua buku lali.

6. Tertib, iaitu melakukan perbuatan itu daripada yang pertama hingga akhir dengan teratur.

SYARAT-SYARAT WUDHU’

Terdapat dua syarat dalam wudhu’ iaitu syarat wajib dan syarat sah.

Syarat Wajib Wudhu’

1. Islam.

2. Baligh.

3. Berakal.

4. Mampu menggunakan air yang suci dan mencukupi.

5. Berlakunya hadath.

6. Suci daripada haidh dan nifas.

7. Kesempitan waktu. Wudhu’ tidak diwajibkan ketika waktu yang panjang tetapi diwajibkan ketika kesempitan waktu.

Syarat Sah Wudhu’

1. Meratakan air yang suci ke atas kulit, iaitu perbuatan meratakan air pada seluruh anggota yang dibasuh hingga tiada bahagian yang tertinggal.

2. Menghilangkan apa sahaja yang menghalang sampainya air ke anggota wudhu’.

3. Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu’ seperti darah haidh, nifas, air kencing dan seumpamanya.

4. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berterusan dalam keadaan hadath seperti orang yang menghidap kencing tidak lawas.

Selain itu, terdapat beberapa syarat wudhu’ mengikut ulama’ mazhab Syafi‘i, iaitu:

1. Islam.

2. Mumayyiz.

3. Suci daripada haidh dan nifas.

4. Bersih daripada apa sahaja yang boleh menghalang sampainya air ke kulit.

5. Mengetahui kefardhuan wudhu’.

6. Tidak menganggap sesuatu yang fardhu di dalam wudhu’ sebagai sunat.

7. Menghilangkan najis ‘aini yang terdapat pada badan dan pakaian orang yang berwudhu’.

8. Tidak terdapat pada anggota wudhu’ bahan yang mengubahkan air.

9. Tidak mengaitkan (ta‘liq) niat berwudhu’ dengan sesuatu.

10. Mengalirkan air ke atas anggota wudhu’.

11. Masuk waktu sembahyang bagi orang yang berhadath berterusan.

12. Muwalat, iaitu berturutan.

SUNAT WUDHU’

Perkara sunat ketika berwudhu’ adalah sangat banyak, di antaranya ialah:

1. Membaca “basmalah” iaitu lafaz

2. Membasuh dua tapak tangan hingga pergelangan tangan.
3. Berkumur-kumur.

4. Memasukkan air ke dalam hidung.

5. Menyapu seluruh kepala.

6. Menyapu dua telinga.

7. Menyelati janggut yang tebal.

8. Mendahulukan anggota yang kanan daripada yang kiri.

9. Menyelati celah-celah anak jari tangan dan kaki.

10. Melebihkan basuhan tangan dan kaki dari had yang wajib.

11. Mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali.

12. Berturut-turut iaitu tidak berselang dengan perceraian yang lama di antara satu anggota dengan anggota yang lain yang menyebabkan anggota itu kering.

13. Menggosok anggota wudhu’ supaya lebih bersih.

14. Bersugi dengan sesuatu yang kesat.

15. Menghadap qiblat.

16. Membaca doa selepas berwudhu’, iaitu:

Maksudnya:
“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa dan tiada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu hambaNya dan RasulNya. Wahai Tuhanku, jadikan aku dari golongan orang-orang yang bertaubat dan jadikan aku dari golongan orang-orang yang bersih.”

PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDHU’

1. Keluar sesuatu daripada lubang dubur atau qubul sama ada tahi, kencing, darah, nanah, cacing, angin, air mazi atau air wadi dan sebagainya melainkan air mani sendiri kerana apabila keluar mani diwajibkan mandi.

2. Tidur yang tidak tetap punggungnya, kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung ke tempat duduk.

3. Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, sakit, pengsan atau pitam kerana apabila hilang akal, seseorang itu tidak mengetahui keadaan dirinya.

4. Bersentuh kulit lelaki dengan perempuan yang halal nikah atau ajnabiyyah (bukan mahram) walaupun telah mati.

5. Menyentuh kemaluan (qubul dan dubur manusia) dengan perut tapak tangan walaupun kemaluan sendiri.

6. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.



11 : PENYAPUAN KHUF

PENGERTIAN KHUF

  • Khuf atau muzah ialah sejenis pakaian yang diperbuat daripada kulit yang menutup bahagian kaki yang diwajibkan basuh ketika berwudhu’ iaitu kaki dan buku lali ke atas, seperti sarung kaki. Bahagian khuf yang disapu ialah bahagian luar sebelah atas bukan tapak.
  • Menyapu khuf adalah sebagai gantian bagi membasuh kedua-dua belah kaki dalam berwudhu’. Ia adalah suatu rukhsah atau kelonggaran yang dibenarkan oleh syara‘ untuk kemudahan umat Islam terutamanya ketika musim sejuk.

CARA PENYAPUAN KHUF

  • Tempoh sesuatu pemakaian khuf ialah satu hari satu malam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi orang yang bermusafir, berdasarkan hadith riwayat Muslim yang bermaksud:

“Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam memberi (rukhsah untuk menyapu khuf) selama tiga hari dan tiga malamnya kepada orang musafir dan satu hari satu malam bagi orang yang bermukim”.

  • Tempohnya ialah bermula dari mula memakai khuf selepas mengangkat hadath sama ada berwudhu’ atau mandi mengangkat hadath.
  • Caranya ialah apabila seseorang itu selesai bersuci dari hadath sama ada mengambil wudhu’ atau mandi mengangkat hadath, ia hendaklah memakai kedua-dua belah khuf tanpa ditanggalkan lagi selama satu hari satu malam (24 jam). Apabila ia terbatal wudhu’ dengan sebab hadath kecil dalam tempoh 24 jam itu, maka ia mengambil wudhu’ semula tetapi bila sampai giliran membasuh kaki, ia tidak perlu membuka khuf dan membasuh kaki, sebaliknya menyapu di atas khuf yang dipakainya itu sebagai gantian membasuh kaki. Begitulah seterusnya setiap kali mengambil wudhu’ dalam tempoh 24 jam itu. Apabila tamat tempoh 24 jam tadi barulah ia wajib membasuh kaki semula ketika mengambil wudhu’ baru dan bermula pula tempohnya.
SYARAT KEHARUSAN PENYAPUAN KHUF

1. Memakai khuf ketika suci sepenuhnya daripada hadath besar dan kecil.

2. Khuf yang bersih serta menutup semua bahagian kaki yang wajib dibasuh ketika berwudhu’.

3. Khuf yang kukuh yang boleh digunakan untuk meneruskan perjalanan biasa.

4. Khuf yang sempurna dan tiada kerosakan padanya.
5. Khuf yang tidak meresap air.

6. Khuf yang tebal yang tidak menampakkan kulit kaki.

PERKARA YANG MEMBATALKAN PENYAPUAN KHUF

1. Semua perkara yang mewajibkan mandi hadath seperti berjunub, haidh dan nifas.

2. Mencabut salah satu khuf atau kedua-duanya sekali atau rosak khuf.

3. Tamat tempoh sapuan khuf iaitu satu hari satu malam bagi orang yang bermukim dan tiga hari tiga malam bagi orang yang musafir




12 : Tayammum

PENGERTIAN TAYAMMUM

  • Tayammum ialah menyampaikan atau menyapu debu tanah ke muka dan kedua-dua tangan dengan syarat yang tertentu. Tayammum dilakukan bagi menggantikan wudhu’ atau mandi wajib (junub, haidh dan nifas), ketika ketiadaan air atau uzur menggunakan air, dan ia adalah suatu rukhsah atau keringanan yang diberikan oleh syara‘ kepada manusia.
  • ·Disyari‘atkan tayammum berdasarkan firman Allah subhanahu wata‘ala:

005.006 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ حَرَجٍ وَلَكِنْ يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ


Maksudnya:
“Dan jika kamu junub (berhadath besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwudhu’ dan mandi), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah – debu yang bersih.”
(Surah Al-Ma’idah, 5:6)


SEBAB YANG MEMBOLEHKAN TAYAMMUM

1. Ketiadaan air yang mencukupi untuk wudhu’ atau mandi.

2. Air yang ada hanya mencukupi untuk keperluan minuman binatang yang dihalalkan, sekalipun keperluan itu pada masa akan datang.

3. Sakit yang jika terkena air boleh mengancam nyawa atau anggota badan atau melambatkan sembuh.

SYARAT TAYAMMUM

1. Menggunakan debu tanah yang suci, tidak musta‘mal, tidak bercampur benda lain.

2. Menyapu muka dan dua tangan dengan dua kali pindah.

3. Hilang najis terlebih dahulu.

4. Masuk waktu sembahyang.

5. Bertayammum bagi setiap ibadat fardhu.

6. Ada keuzuran seperti sakit atau ketiadaan air.


ANGGOTA TAYAMMUM

1. Muka.

2. Dua belah tangan hingga siku.


RUKUN TAYAMMUM

1. Berniat ketika menyapu debu tanah ke muka. Niat tayammum adalah seperti berikut:


Maksudnya:
“Sahaja aku bertayammum bagi mengharuskan solat kerana Allah Ta`ala.”

2. Menyapu muka.

3. Menyapu kedua-dua belah tangan.

4. Tertib.


SUNAT TAYAMMUM

1. Membaca basmalah iaitu lafaz

2. Mendahulukan menyapu tangan kanan dari yang kiri dan memulakan bahagian atas dari bahagian bawah ketika menyapu muka.

3. Berturut-turut di antara menyapu muka dan menyapu tangan.


PERKARA YANG MEMBATALKAN TAYAMMUM

1. Berlaku sesuatu daripada perkara-perkara yang membatalkan wudhu’.

2. Melihat air atau mendapat air sekiranya bertayammum kerana ketiadaan air.

3. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.




No comments:

Post a Comment